Wednesday, August 24, 2011

KESEMPATAN RAMADHAN YANG MASIH BERBAKI..

Antara kelebihan Ramadhan ialah :
Pahala kebaikan digandakan. MasyaALLAH. Bayangkan kalau diluar ramadhan setiap satu kebaikan akan diberi sepuluh ganjaran, apatah lagi Ramadhan? Sebagai contoh, dengan membaca al-Quran, ganjarannya mengikut berapa huruf yang dibaca. Jika satu surah al-Fatihah di baca pada luar bulan Ramadhan, setiap huruf di beri ganjaran sepuluh kebaikan. Jika dibulan Ramadhan, hanya dengan surah al-fatihah berganda-ganda ganjarannya. Apatah lagi yang menghabiskan satu Al-Quran. Begitu juga sedekah dan sebagainya.
Allah membuka pintu keampunan seluas-luasnya. Sedangkan Rasulullah yang ma’sum pun setiap hari bertaubat kepada ALLAH, inikan lagi kita, manusia biasa, yang tidak diberi apa-apa jaminan syurga. Hanya orang-orang bijak sahaja yang mengambil peluang sehabis baik meminta keampunan di bulan ini. Setiap tangisan airmata yang keluar ikhlas kerana ALLAH itulah yang akan membantu menyelamatkan kita dari seksaan azab api neraka.Betapa ruginya kita andai dapat hidup dibulan Ramadhan tetapi tidak terampun dosa-dosa yang kita lakukan.
Malam lailatulqadar. Ganjaran yang ada pada malam ini sama seperti beribadat selama 1000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun. Mengikut salah satu pendapat ulama’ berdasarkan nas-nas, ia berlaku pada sepuluh malam ganjil sepuluh terakhir bulan ramadhan. Semua ciptaan ALLAH tunduk sujud dengan cara tersendiri pada malam itu, Inikan lagi manusia, yang diberi akal, mereka perlulah lebih berusaha mencari malam ini.
Seperti firman Allah dalam (surah Al-Qadr : 1-5)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Doa dimakbulkan. Antara doa-doa akan ALLAH akan makbulkan dengan hebat ialah doa orang-orang yang berpuasa. Itupun jika puasa dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Berusaha untuk mencapainya, bukan setakat berdoa sahaja.
Dengan sambutan Ramadhan pada kali ini diharapkan memberi satu kekuatan dan latihan untuk terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan pada bulan-bulan seterusnya. Oleh itu wahai jemaah sekalian, sambutlah aidilfitri di bulan Syawal nanti dengan kegembiraan yang berpada-pada, janganlah sampai menjadikan Syawal sebagai hari balas dendam atas segala apa yang kita tahan selama bulan Ramadhan.
*Kepada yang berusaha pergi bertarawih di surau pada bulan Ramadhan, teruskan usahamu untuk berjamaah fardhu di luar bulan ramadhan.
*Kepada mereka yang berusaha berhenti merokok pada bulan Ramadhan, teruskan usaha anda untuk berhenti merokok.
*Kepada yang selalu menahan diri untuk mencarut pada bulan Ramadhan, jaga mulutmu dari perkataan-perkataan yang tidak berguna itu selepas ramadhan.
*Kepada mereka yang letih sujud berqiamullail pada bulan Ramadhan, teruskan dengan bangun malam itu sepertimana kau mencari LailatulQadar di bulan ramadhan.
*Kepada mereka yang menahan diri dari berdating dengan temanmu di bulan Ramadhan teruskan usahamu membina pertalian suci diantara dua hati yang bukan muhrim.
*Kepada mereka yang menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang terjurus kepada kelucahan semasa bulan Ramadhan, jadikan Syawal dan bulan-bulan seterusnya sebagai permulaan kepada pengakhiran.
*Kepada mereka yang berusaha menutup aurat untuk bertarawih di surau pada bulan Ramadhan, teruskan usaha sucimu itu dibulan-bulan seterusnya. Agar ia menjadi kebiasaanmu kelak.
Dan begitulah selanjutnya, jadikanlah Ramadhan sebagai latihan untuk kamu menjadi insan yang lebih berguna.
Terima kasih ALLAH kerana memberikan aku kesempatan untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan pada tahun ini, dan sampaikanlah aku ke Ramadhan seterusnya lagi. Amin, Ya Rabbal- Alamin..Hadith Rasulullah SAW:Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”. -Riwayat Ahmad dan At Tabrani daripada Anas-