Friday, January 3, 2014

Adab Ikhtilaf Kita.. Seakan ahli syurga atau sebaliknya?






Pengertian Ikhtilaf

Ikhtilaf adalah lawan dari ittifaq atau kesepakatan.
Dalam kamus Lisanul Arab : Ikhtalafa al-amr in lam yattafiqa – sesuatu perkara disebut ikhtilaf sebelum ia bersatu atau bersepakat. Setiap yang tidak sama biasanya disebut dengan ikhtilaf (perbezaan).
Sedangkan khilaf mempunyai makna lain, iaitu : berlawanan atau bertentangan, dengan kata lain ia lebih khusus dari sekadar berbeza.

Ikhtilaf bagi para ulama juga dimaksudkan sebagaimana asal katanya, iaitu perbezaan. Sebahagian ulama membezakan antara ikhtilaf dan khilaf dengan perincian yang lebih khusus.


Hakikat Ikhtilaf

Setiap perbezaan samada dari segi perbezaan warna kulit, bahasa, hingga ke perbezaan masalah fiqh, aqidah atau keyakinan sekalipun, semua itu adalah sunnah kauniyah yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT atas makhluknya.
Dalam Al-Qur’an Allah SWT berfirman :
“Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka”(Surah Hud : 118-119)

Namun, perbezaan sebagai satu sunnah kauniyah bukan bererti kita tidak diperintahkan untuk berusaha menghindarinya. Keaadaan ini sebagaimana ada pada kekufuran dan maksiat, yang mana tidak akan menimpa seseorang kecuali atas takdir Allah SWT.

Walaupun begitu, kita semua diperintahkan untuk menghindarinya, kerana pada dua hal tersebut terdapat unsur kehendak (iradah) dan pilihan manusia (ikhtiyari). Bahkan secara umum, para ulama menyatakan bahwa manusia wajib berusaha menghindari sunnah kauniyah yang bersifat buruk (seperti maksiat atau kekufuran).


Jenis Ikhtilaf

Al-Ikhtilaf terbahagi kepada dua, iaitu terpuji (mahmud) dan tercela (madzmum). Ikhtilaf disebut terpuji jika merupakan hasil ijtihad yang berlandaskan niat mencari kebenaran dan memenuhi syarat dan adabnya meskipun hasil ijtihad tersebut keliru.
Dari Amr bin Ash Rasulullah SAW bersabda :
“Jika seorang hakim menghukumi (suatu urusan) kemudian dia berijtihad dan benar maka baginya dua pahala, dan jika ia menghukumi lalu berijtihad kemudian salah, maka baginya satu pahala ” … (HR Bukhori dan Muslim)
Ikhtilaf yang terpuji ini sebagaimana perbezaan yang ada di antara para sahabat dalam masalah fiqh yang cabang. Contoh : hak waris antara datuk dan saudara, jatuhnya talak tiga dalam satu majlis, beberapa masalah riba, dan sebagainya. Begitu juga perbezaan yang ada di antara imam mazhab yang sangat banyak kita dapati dalam kitab fiqh. Maka perbezaan yang terpuji ini merupakan bentuk rahmat dan kelapangan bagi umat manusia.
Adapun bentuk ikhtilaf yang tercela, adalah hasil ijtihad yang keliru kerana ia bukan berlandaskan pada kebenaran, tetapi permusuhan, nafsu, fanatisme dan sikap tercela lainnya. Maka kemudian mereka berusaha menafsirkan, mentakwilkan hal-hal yang sebenarnya sudah disepakati. Bahkan, membuat dalil-dalil baru palsu untuk menguatkan pendapatnya. Ikhtilaf dalam bentuk yang tercela adalah sebagaimana ikhtilaf yang muncul dari fahaman-fahaman tertentu seperti : Syiakh, khawari, mu’tazilah dan sebagainya. Inilah bentuk ikhtilaf yang diisyaratkan dalam sebuah hadits dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda :
“Dan sesungguhnya umatku akan terpecah menjadi 72 golongan, semuanya di neraka kecuali satu golongan sahaja iaitu al-jamaah “ … ( HR Ibnu Majah)



Sebab –Sebab Ikhtilaf Yang Tercela

Ikhtilaf yang tercela disebabkan oleh banyak hal, antaranya :
1. Al-Baghi ( Pembangkangan)
Ini adalah sebab paling banyak dari ikhtilaf yang tercela, dimana sejarah Islam banyak mencatatkam perbezaan-perbezaan yang berasal dari pembangkangan, dan pembelaan kepentingannya. Seperti : Khawarij, Syiah Rofidhah dan seterusnya.
2. Al-Ghurur Bi an-Nafsi ( Tertipu oleh dirinya sendiri)
Adalah merasa takjub dengan pendapatnya sendiri, merasa sombong dan meremehkan pendapat orang lain. Maka ia tetap pada pendapatnya sendiri meskipun jelas keliru, tanpa mahu mendengarkan pendapat dan pertimbangan dari pihak lain.
3. Suudzhan bil Akharin (Berburuk sangka pada yang lain)
Iaitu melihat kepada yang lain dengan cara pandang negatif, menuduh fahaman orang lain cacat, amal-amal orang lain salah, tujuan-tujuan orang lain adalah buruk. Maka mereka ini sentiasa menuduh dan menrendah-rendahkan orang lain, baik dengan perkataan mahupun perbuatan.
4. Hubbu Adzdzuhur wal Jidal (Suka tebar pesona dan berdebat)
Yang senantiasa menjadi sebab sifat ini adalah dorongan hawa nafsu semata-mata. Maka, ia berbeza pendapat hanya kerana menginginkan populariti, pengakuan dan penghargaan dari yang lainnya. Malahan, mereka berbeza pendapat kerana menyukai perdebatan panjang, pada hal-hal yang tidak sewajarnya.
5. Fanatik dengan pendapat seseorang atau mazhab tertentu
Hal ini telah wujud sejak zaman dulu sehingga kini. Bahkan sampai mengorbankan nyawa atau darah sekalipun. Ibnu Taimiyah mengatakan: ” Barang siapa yang bertaasub kepada salah satu dari para imam mazhab tanpa yang lainnya, maka ia bagaikan bertaasub pada salah seorang sahabat tanpa yang lainnya”. Contoh dalam masalah ini seperti Syiah dengan fanatiknya terhadap para imamnya.

6. Faktor-faktor dari luar
Para musuh-musuh Islam dari Yahudi dan Nasrani sangat mengetahui bahawa kekuatan umat Islam adalah pada persatuannya. Maka, langkah pertama yang diambil dalam rangka menguasai negara muslim adalah dengan memecah-belahkan kaum muslimin di daerah tersebut. Maka mereka pun mempelajari hal-hal dalam ajaran Islam yang boleh djadikan sebab perpecahan, kemudian menokok tambah, menghias, memperbesar dan memwujudkan perbezaan yang semestinya sederhana dan wajar.

Syaikh Al-Utsaimin Rahimahullah menjelaskan beberapa sebab terjadinya ikhtilaf dalam kalangan para ulama (imam) yang meliputi beberapa hal:
1. Nas atau dalil dalam suatu masalah tidak sampai seseorang (baca: ulama)
2. Hadis (dalil) telah sampai kepada seseorang yang kebetulan keliru dalam mengambil suatu keputusan, namun ia kurang percaya kepada pembawa berita atau yang meriwayatkan hadis
3. Dalil (hadis) telah sampai kepada orang tersebut, namun ia keliru dalam memahaminya
4. Dalil telah sampai kepadanya tapi sudah dinasakhkan, namun ia tidak mengetahui dalil yang menasakhkannya
5. Hadis (dalil) telah sampai kepadanya, namun ia lupa terhadap dalil tersebut
Dalam Menyikapi perbezaan pendapat ulama, maka sikap kita adalah mengikuti pendapat yang lebih kuat dan sesuai dengan dalil-dalil yang ada, walau berbeza pendapat dengan imam yang kita ikuti.




Asas dan Prinsip Perbezaan Yang Dibenarkan oleh Syariat

1. Bersatu dan berlandaskan nas (Al-Quran dan Sunnah) tanpa menyalahinya.

2. Iltizam dengan apa yang telah disepakati oleh Ummah (ijma’). “Kita saling menguatkan apa yang kita sepakati, dan kita bertolak ansur terhadap urusan yang kita ada perbezaannya”.
Dua nota ini menunjukkan kesepakatan wajib berlaku kepada dasar-dasar am yang berbentuk yakini dalam agama. Ada pun perkara yang dibenarkan untuk diperselisihkan ialah dalam urusan-urusan furui’yah- ranting permasalahan sahaja.

3. Iltizam dengan manhaj umum yang telah dipegang oleh salafus soleh khususnya Khulafa Rasyidin. Sepertimana yang diwasiatkan di akhir hayat Baginda SAW “Sesungguhnya nanti sesiapa yang hidup dari kamu (ummat Muhamad) akan melihat perselisihan yang sangat banyak, maka jauhilah perkara-perkara baru dalam urusan agama, maka sesungguhnya ia adalah sesat. Sesiapa yang bertemu dengan hal itu maka wajiblah atas kalian (ummat Muhammad) berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin yang diberi hidayah, gigitlah dengan gigi geraham –yakni bertaut kuat dengan sunnah tersebut” (HR Tirmizi, no : 2676 – Tirmizi berkata hadis ini Hasan Sahih)

4. Tidak membawa kepada perkelahian, pergaduhan, perpecahan dan permusuhan. Nabi SAW bersabda: “Telah melata kepada kamu (wahai ummatku) penyakit ummat terdahulu, iaitu hasad dan kebencian, ia adalah pencukur. Aku tidak mengatakan ianya pencukur rambut, tetapi menjadi pencukur kepada agama” (Hadis ini disebut dalam at-Targhib wat Tarhib. Kata Imam al-Munziri: Hadis ini riwayat al-Bazzar dengan sanad yang jayyid, al-Baihaqi dan selainnya)

5. Perbincangan (hiwar) yang baik, beradab dan tenang.

6. Dalam urusan yang tidak datang nas yang jelas, umat Islam harus bersedia membuka pintu untuk menerima pro dan kontra sesuatu pandangan. Menerima kritikan dan perbezaan yang membina.

7. Iltizam dengan Fiqhul Inkar (fiqh perbalahan)
i. Tidak ingkar dalam perkara-perkara ijtihadiah yang berselisih padanya pandangan antara ulama. Mujtahid tidak mengingkar mujtahid yang lain malah menghormati mereka dengan ijtihad mereka. Imam as-Shafie pernah berkata: “Pandangan aku betul, tetapi berkemungkinan salah. Pandangan mereka (selain mazhabku) salah, tetapi berkemungkinan betul”. Hal ini berputar dalam urusan siapa mendapat dua pahala dan siapa pula mendapat satu pahala.
ii. Pengikut mujtahid tidak mengingkar pengikut mujtahid yang lain selama mana mujtahid tersebut dalam mazhab yang muktabar di sisi Ahlul Sunnah wal Jamaah.
iii. Bagi masalah-masalah urusan-urusan yang berhajat kepada pertimbangan para mujtahid, maka orang biasa (yang tidak punya kemampuan) tidak digalakkan menyentuh persoalan yang dianggap mungkar padanya. Kecuali para ulama yang berkemampuan sahaja yang meyakini dan mempunyai hujah yang kukuh bahawa perkara tersebut memang ternyata mungkar tanpa ada khilaf.

Imam an-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut (dalam mensyarahkan hadis sesiapa yang melihat kemungkaran), sesungguhnya urusan menyuruh kepada maaruf dan mencegah mungkar ini ialah tugas orang yang alim tentangnya (maaruf dan mungkar tersebut), yang demikian itu dilihat dalam keadaan yang berbeza;
Sekiranya hal tersebut daripada urusan kewajipan-kewajipan yang zahir ataupun perkara-perkara haram yang masyhur (urusan agama yang darurat -tidak dapat tidak diketahui umum) seperti solat, puasa ramadhan, zina dan arak, maka seluruh muslimin dikira orang alim ketika itu.
Andaikata pula perkara yang dianggap mungkar ketika itu ialah penghalusan masalah ucapan atau perbuatan yang mana ia bersangkut dengan ijtihad, maka tidak ada bagi orang awam campurtangan pada hal tersebut. Tiada kewajipan kepada mereka, tetapi menjadi kewajipan para ulama sahaja.

8. Tidak berijtihad kecuali mereka yang betul berkelayakan. Ini bukan menutup pintu ijtihad. Tetapi orang yang mahu selamat tidak akan bercakap tetang agama Allah apa yang tidak baik dan sesuai dengan waqie’. Orang yang tidak ada kelayakan haram berijtihad kerana itu membawa dia berkata sesuatu tentang Allah (agama Allah) apa yang dia tidak tahu. [rujuk surah al-A’raaf, ayat 33]




Beberapa kisah teladan:

*Yusuf al-Qaradhawi dan Hassan al-Banna

Ishom Thalimah menjelaskan dalam bukunya Manhaj Fikih Yusuf al-Qaradhawi bahawa Yusuf Al-Qaradhawi sangat cintakan Hassan al-Banna. Beliau menguasai dengan mendalam semua penulisan Hassan al-Banna. Beliau menghafaz kata-kata Hassan al-Banna dengan fasih dan lancar. Kecintaan beliau terhadap Hassan al-Banna terserlah apabila beliau merincikan buku Usul Isyrin oleh Hassan al-Banna. Lebih jauh dari itu, Syeikh al-Qaradhawi pernah memuji Hassan al-Banna dalam untaian syair yang indah.
Namun begitu, al-Qaradhawi tidak menyebabkan rasa cintanya kepada Hassan al-Banna menjadikannya tidak memiliki ‘rasa berdikari’ dalam pendapat dan pandangan, atau tidak mampu berbeza dengan yang dicintainya dalam beberapa pandangan.

Contoh perbezaan mereka ialah:
1. Hassan al-Banna menolak berdirinya banyak parti Islam dalam sebuah negara Islam kerana ia mencabik kesatuan.
2. Al-Qaradhawi membolehkan beberapa parti Islam dalam sebuah negara Islam namun dengan syarat-syarat yang beliau rincikan antaranya ialah perlu saling menghormati bukan saling bertelagah.
Al-Qaradhawi membahas pandangan Hassan al-Banna dengan penuh hormat serta menyatakan penghargaan yang besar terhadap pandangan Hassan al-Banna.
Demikian juga dalam isu-isu wanita. Imam Hassan al-Banna begitu keras pendapatnya dalam masalah wanita. Sementara al-Qaradhawi bersikap moderat. Sebab perbezaan keduanya bukan pada masalah hujah atau dalil. Perbezaan yang ada muncul kerana perbezaan zaman di mana kedua-duanya hidup.

Imam Hassan al-Banna hidup di sebuah zaman di mana parti-parti dan kelompok-kelompok telah memecah-belahkan kaum muslimin, bukan menyatukan mereka. Saling menghancur bukan membangun. Pada saat itu, kaum wanita belum terjun ke medan kerja, maka pendapat yang beliau keluarkan adalah sebagai tindakan preventif.
Perbezaan pendapat di antara dua tokoh besar gerakan Islam ini bahkan menjadi satu rahmah. Ia menunjukkan bahawa gerakan ikhwanul muslimin yang dibawa oleh mereka adalah gerakan dinamik dan pembaharu (tajdid) dan bukan gerakan yang berdiri di atas status quo dalam pemikiran dan pendapat-pendapatnya.
Bagi para imam itu, tiada halangan bagi mereka untuk berbeza ijtihad dengan imam mereka sebab imam mereka itu sendiri tidak menutup pintu ijtihad bagi sesiapa sahaja yang datang setelahnya. Khususnya jika kondisi, pemikiran dan lingkungan berubah. Mungkin saja jika Hassan al-Banna hidup hingga kini dan melihat apa yang Yusuf al-Qaradhawi lihat, beliau mungkin akan mengubah fatwanya sebab fatwa itu selalu akan berubah sesuai dengan perubahan tempat, waktu dan kondisi.

*Yusuf Al-Qaradhawi dengan Syeikh bin Baz

Anda pernah mendengar seungkap nama ulama Syeikh bin Baz? Atau Nasiruddin al-Bani.
Dalam masyarakat kita, ada yang anti dengan nama-nama ini. Pendapat mereka sering berbeza dengan pendapat yang selalu masyarakat kita terima di sekolah, di pondok atau di IPT.
Pendapat mereka juga dalam isu-isu kontemporari ada kalanya tidak sehaluan dengan pendapat Ketua Majlis Ulama Sedunia, Global Mufti. Mari kita contohi kelembutan akhlak Al-Qaradhawi dengan Syeikh bin Baz ketika mereka berbeza.
Dalam masalah berdamai dengan Israel, mereka tidak sekepala. Namun, jawapan kedua-dua pihak selalu menggambarkan contoh yang sangat indah dalam fikih ikhtilaf (berbeza pendapat) di antara para ulama.
Kebanyakan ungkapan Syeikh al-Qaradhawi adalah pujian kepada Syeikh bin Baz. Antaranya,
“Syeikh Abdul Aziz bin Baz adalah salah seorang ulama besar kaum muslimin pada zaman ini. Fatwa-fatwanya boleh diterima di lingkungan umum dan para aktivis Muslim. Beliau adalah sosok ulama yang keilmuannya tidak diragukan lagi. Demikianlah beliau dalam pandangan kami.”
Apabila beliau ingin menegur suatu fatwa yang dirasakan kurang sesuai, beliau akan berkata,
“Marilah kita semua melihat dalil pertama yang dikatakan oleh Allamah.” Kemudian, beliau menutup perkataannya dengan berkata,
“Demikian, sesungguhnya perbezaan pendapat saya dengan Yang Mulia Syeikh Abdul Aziz bin Baz sama sekali tidak menafikan rasa hormat saya yang dalam kepadanya. Saya berharap dengan harapan yang tulus untuk membaca dengan teliti dalil-dalil yang saya jadikan dasar. Semoga beliau menarik pendapatnya. Sebab sepanjang yang saya tahu, beliau adalah orang yang dengan mudah dapat kembali kepada kebenaran.”



Muhasabah 10 Pendapat Kita

Sebagai remaja atau orang muda, mari sama-sama muhasabah 10 pendapat kita dengan orang sekeliling kita dalam pelbagai isu. Ia menghampiri perpecahan atau penyatuan?
Mari muhasabah lagi 10 komen kita di facebook, twitter, blog, atau e-mail, ia mengajak bertelagah atau merapatkan saf? Ia berlandaskan fakta atau auta? Kita banyak berhikmah atau beremosi? Kita banyak melabel atau memahami?
Bukan hanya orang muda, orang dewasa juga perlu bermuhasabah. Sebagai orang dewasa, bagaimana 10 sikap terakhir kalian melayani buakan semangat orang muda? Mendidik atau menghukum? Menjelaskan atau melabel dalam diam? Mengapi-apikan atau memberi contoh tauladan?

Yunus As-Sodafi berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih matang akalnya berbanding As-Syafie. Aku pernah berdebat dengannya pada suatu hari dalam satu masalah. Kemudian kami berpisah. Dan tatkala dia bertemu aku selepas itu, dia memegang tanganku lalu dia berkata: wahai Abu Musa, bukankah kita masih terus sebagai saudara walaupun kita tidak sepakat dalam masalah dulu?”
(Siarul A’lam an-Nubala)

Bila Kita Berbeza…
Subhanallah! Para ulama menunjukkan akhlak yang cukup tinggi ketika mereka berbeza. Kita pula bagaimana?
Bila kita berbeza, adakah kita terhalang daripada memujinya?
Bila kita berbeza, adakah kita menolak segala kebaikannya?
Bila kita berbeza, adakah kita asyik mengutuk kelemahannya?
Bila kita berbeza, adakah kita tetap cinta?

Penutup

Akhirnya ingin dirumuskan bahawa;

1. Khilaf hanya berlaku dalam perkara-perkara furu’iyah (cabang) yang tidak bercanggahan dengan nas Qotieyyatis Thubut (yang tetap sahih kesabitannya- tidak boleh pertikai) dan Qothieyyatid dilalah (yang putus- tetap dan sahih tunjukan dan kehendaknya).
2. Perselisihan itu dibenarkan, tetapi adab dan persaudaraan itu adalah kewajiban.
3. Haram berkompromi dengan sesuatu yang jelas menyalahi nas syariat (Al-Quran dan Hadis).
4. Tidak menghukum orang yang berbeza pandangan dari apa yang kita pegangi dengan label-label tidak berakhlak. Pegangan kita boleh jadi betul dan boleh jadi salah, begitu juga dengan pandangan mereka.
5. Nabi SAW pernah bersabda; “Sesiapa yang mendakwa seseorang lain sebagai kafir atau dia berkata; Musuh Allah, sedangkan lelaki itu tidak demikian, maka akan kembalilah apa yang diungkapnya tadi kepada dirinya sendiri” (HR Muslim No:61)
6. Ingatlah amaran Nabi SAW: “Jauhilah kalian dari buruk perhubungan (permusuhan dan kebencian), sesungguhnya ia adalah pencukur (agama). (HR Tirmizi, No: 2508. Beliau berkata: Hadis ini Sahih lagi Gharib)
7. Memahami banyak mazhab membuka ruang untuk kita lebih sesuai hidup dalam kepelbagaian keadaan dan suasana. Ketaksuban dengan cuma satu-satu pandangan menyempitkan kehidupan yang Allah luaskan.
8. Jangan membekukan minda dengan pendapat sendiri sahaja, bukalah ruang melihat dan menilai hujah-hujah pandangan yang berbeza itu.
9. Menghormati ulama-ulama ahlus sunnah yang lain dengan ijtihad mereka. Dan bersangka baiklah dengan ilmu dan amanah ilmu mereka walaupun kita tidak sependapat dengan mereka.
10. Bagi seseorang yang mampu untuk membuat pertimbangan antara hujah dan
pandangan ulama, maka dia digalakkan membuat tarjih (memilih pandangan yang kuat berdasarkan hujah dan perbahasan) kerana memilh pandangan yang lebih dekat kepada kefahaman dan nas itu adalah amanah ilmu dan amanah kepada diri sendiri. Berkata Imam Qurthubi dalam tafsirnya: “Orang yang berbincang harus melihat kepada semua perbezaan pandangan yang wujud, dan dia melihat dan mengkaji apa yang lebih hampir dengan nas kitab dan sunnah sekiranya dia mampu. Apabila dia telah diberi pertunjuk oleh Allah kepada sesuatu yang telah Dia kehendaki, maka ketika itu berazamlah dengan pilihan tersebut lalu dilaksankanlah apa yang dipilih itu dengan tawakkal kepada Allah” [al-Jamie lilahkamil Quran, lil Qurthubi]
11. Ingatlah bahawa agama ini adalah agama Allah, dan ummat ini ialah ummat Islam, Nabinya satu iaitu Muhammad SAW, dan setiap kalam pada agama ini menjadi tanggungjawab dan amanah yang digantung di setiap pembicaranya. Maka berhati-hatilah. dan dengarlah semua kalam yang diucapkan oleh ummat ini.
Jika setiap pembicara bebas berbicara apa yang dia fikirkan, maka ingatlah bahawa kebebasan itu bukannya mutlak. Kita akan dipersoalkan nanti tentang kesahihan kalam itu dan turut dipertanggungjawabkan terhadap kesan yang ditinggalkan dari setiap pandangan yang dikeluarkan. WaAllahu’alam bissawab.

Rujukan:
Al-Ikhtilaf- Ususuhu wa adabuhu : Syeikh Ismail Majzub
Fiqhus Sirah : Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Bouti
Fiqhus Sirah : Dr. Muwaffaq Salim Nuri